Orang Melayu dahulu banyak meninggalkan bermacam-macam kepercayaan yang
mana di dalamnya mengandungi pelbagai pantang larang, tunjuk ajar yang
halus dan nasihat yang berguna kepada anak cucunya yang masih mentah
dalam kehidupan harian mereka.
1. Duduk atas Bantal -
Masyarakat Melayu pantang duduk di atas bantal kerana dipercayai boleh
naik bisul. Sebenarnya dilarang berbuat demikian adalah kerana hendak
menjaga bantal daripada dipecah atau dikoyak. Tambahan lagi adalah tidak
baik benda untuk melapek kepala diletakkan di bawah punggung.
2. Bergendang dalam Rumah - Mendengar anak cucu mereka bergendang dalam
rumah, seperti memukul dinding, lantai atau sebagainya, maka dilarang
oleh orang tua-tua, “dengan berkata "tidak baik bergendang dalam rumah,
nanti harta habis dicuri oleh orang.” Larangan ini sebenarnya untuk
mengelakkan bunyi bising di rumah, tambahan lagi bergendang itu akan
merosakkan barang, terutamanya barang-barang yang bergantung di dinding
itu akan jatuh dan pecah.
3. Menjahit pada Waktu Senja -
Apabila ibu melihat anaknya menjahit atau menyulam pada waktu senja
dengan segeranya akan berkata, “Jangan menjahit pada waktu senja, nanti
mata guru engkau akan buta.” Apabila si anak mendengar larangan itu,
tentunya akan berhenti perbuatan tersebut. Ini kerana mereka tidak suka
melihat gurunya buta atau cacat kerana segala pengetahuan yang
didapatinya itu adalah daripada guru yang disayanginya.
Pengajaran
disebalik larangan itu adalah untuk menjaga kesihatan mata anak supaya
tidak menjadi kabur dan rosak atau jarum tercucuk tangan.
4.
Makan dengan Menggunakan Bekas Retak atau Sumbing - Apabila si isu
melihat anaknya makan dengan menggunakan bekas yang retak atau sumbing,
maka si ibu itu akan melarang dengan berkata, “Siapa makan menggunakan
bekas yang retak akan dapat isteri atau suami yang telah berkahwin dua
atau tiga.” Nasihat ini sebenarnya untuk mengelakkan supaya anaknya
tidak terkena luka dari bekas yang digunakan itu.
5. Bersiul
atau Bernyanyi di Dapur - Seseorang anak gadis yang suka bersiul dan
bernyanyi ketika memasak dikatakan akan mendapat suami tua. Apabila anak
gadis mendengar nasihat itu tentunya akan berhenti berbuatan tersebut.
Ini kerana anak gadis tentunya tidak mahu bersuami dengan seorang lelaki
yang tua.
Larangan ini adalah mengelakkan berlakunya kecelakaan
supaya sebarang kerja di dapur mesti dibuat dengan sempurna dan tambahan
pula adalah tidak manis sekiranya anak gadis bersiul dan bernyanyi di
dapur.
6. Tikus Tidak Boleh di Seranah - Mengikut kepercayaan
tikus tidak boleh di seranah. Sekiranya disumpah kerana perbuatannya
merosakkan barang-barang di dalam rumah, ia akan lebih mengganas lagi.
Biasanya tikus-tikus tidak memusnahkan sesuatu benda, yang dilakukannya
ialah merosakkan sedikit di sana sini yang menyebabkan benda-benda yang
dirosakkan itu tidak boleh digunakan lagi. Perbuatan tikus ini dapat
memberi didikan kepada diri agar jangan mudah mengeluarkan kata-kata
yang boleh menyakitkan hati orang lain. Perbuatan ini amat tidak disukai
oleh masyarakat. Unsur pengajarannya ialah manusia mestilah berfikir
dahulu sebelum bercakap agar tidak menyinggung perasaan orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan