
Ada yang cakap pelan rumah pada kad kahwin tak jelas..so saya bg pelan ni..harap2 jelas yerk...
Sesuatu mengenaiku *nama nurhyati *boleh panggil mommy yati *pada thn 2016 ni baru ada dua hero.
1.Setiap pagi, sebelum pergi sekolah, anda berdiri di belakang anak dan kedua-duanya (anak dan ibu atau bapa) menghadap kiblat.
2.Letakkan kedua-dua telapak tangan ibu/ayah yang dirapatkan atas kepala anak tanpa sentuh kepala lebih kurang 1 inci dari rambut.
3. Bacakan al Fatihah dan Alam-nash-rah... hingga habis.
4. Niat dalam hati mohon pada Allah: "Ya Allah permudahkanlah anak aku ini untuk belajar dan diterangkan hati, lembutkan hati dan ditetapkan iman dan mohon anak aku ini mendengar cakap ibu bapanya".
5. Kucup dahi anak dan biarkan dia pergi ke sekolah. Telapak tangan anda (ibu/bapa) ada aura dan gunakannya sebaik-baiknya.
*Berikan anak anda pelukan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk).
Janjilah kepada diri sendiri bahawa tanpa mengira betapa susah sesuatu masalah yang anda hadapi dalam kehidupan anda, anda akan mencuba dengan sedaya upaya anda untuk membantu diri sendiri.
Anda mengakui bahawa usaha anda untuk membantu diri sendiri itu mungkin tidak berbuah kerana pemberian ganjaran yang wajar adalah di luar kawalan anda.
Keyakinan ialah kepercayaan yang tidak berbelah bagi.
Keyakinan diri pula ialah kepercayaan bahawa dirinya boleh mengendalikan kehidupannya dengan baik serta segala cabaran yang dihadapi dengan jayanya
Mari kita hayati 10 Tips Mewujudkan keyakinan diri;
01.Anggapkan diri anda yang diciptakan oleh Allah adalah sama seperti orang lain, tiada yang kurang dan tiada juga yang lebihnya.
02.Orang lain boleh buat, kenapa anda tidak boleh buat? Pedulikan apa orang nak kata tapi yang penting pelajari apa orang lain buat terlebih dahulu sebelum kita buat.
03.Apa kekurangan/kelemahan yang ada pada diri anda dan baikinya. Jangan biarkan ia terus berkekalan tanpa ada sebarang usaha dari anda.
04.Jangan takut-takut atau teragak-agak untuk melakukan sesuatu yang positif. Berani!
05.Elakkan perasaan malu yang tidak bertempat. Ketepikan! Tonjolkan diri anda.
06.Lakukan riadah yang ringan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, ianya sebagai warm up dan dapat mengaktifkan diri seseorang.
07. Kemas diri dan anggapkan diri anda adalah terbaik pada hari itu. Ya saya boleh!
08.Apabila berinteraksi pandang tepat pada muka dan mata orang yang kita sedang berinteraksi dan gunakan sedikit pergerakan tangan untuk menerangkan sesuatu. Jangan terlalu kaku.
09.Apabila memulakan sesuatu tugas jangan memikirkan tentang masalah, tetapi fikirkan tentang hasilan yang akan dapat selepas tugas tersebut.
10.Sentiasa peka terhadap waktu, jangan berlengah-lengah atau bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugas. Masa itu emas! Setiap waktu berharga.
Bagaimana seorang pelajar tahun akhir universiti yang hampir bunuh diri kerana depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih mengubah kehidupannya 180 darjah menjadikannya insan yang paling bahagia di muka bumi ini dengan perkahwinan di usia awal. Berikut adalah coretan terus dari hati dan mata pena beliau.
*****
Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa? Pasir?"
Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.
Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar 'cinta rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani hubungi ayah saya dan minta izin untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi.
Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.
Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.
Simple bukan? Kenapa perlu pening?
Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.
Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?
Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.
Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.
Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.
Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.
"Seganlah. Nanti orang kata apa."
"Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran."
Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.
Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.
Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!!
Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.
Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.
Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.
Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.
Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.
Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.
Nota : Perkongsian di atas merupakan satu contoh bahawa perkahwinan di usia muda merupakan satu pilihan atau option yang ada bagi masyarakat kita. Walaubagaimanapun, keputusan mendirikan rumah tangga perlu dibuat dengan hikmah bergantung kepada keadaan pasangan masing-masing kerana kehidupan selepas bernikah adalah cabaran sebenar dan pastinya kita inginkan rumah tangga yang berkekalan sehingga akhir hayat.
"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH SAYANG dan BELAS KASIHAN." (Surah Ar-Rum, 21)
Kadang-kadang orang kita silap persepsi dengan menyangka bahawa budaya romantik itu datang dari Barat. Mereka menyangka Islam menganjurkan sikap tegas dalam hubungan lelaki-perempuan, hatta di kalangan suami isteri. Sangkaan begini terbukti silap.
Sebenarnya orang kita masih lagi terbelenggu dengan amalan kebanyakan masyarakat rumpun Melayu yang kadang-kadang malu tak bertempat dan tegas tak kena gaya. Hasilnya mereka tumpul budaya romantis dan kering dalam bercinta. Yang lebih ganjil lagi, ketika di luar ikatan perkahwinan, mereka bukan main romantik, tetapi bila sudah bernikah, mereka bersikap dingin dan hanya tahu romantik ketika di atas katil.
Sikap ini berbeza dengan sifat romantis Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam yang sentiasa bergaul dengan isteri dengan penuh mesra dan ceria. Kedudukan Baginda yang begitu tinggi di sisi Allah dan masyarakat tidak menghalang Baginda untuk bersama dengan isteri dengan penuh rasa cinta dan kasih.
Hal ini dapat dilihat daripada hadis riwayat Aisyah yang berkata;
لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ رَأْسَهُ فِي حِجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ وَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ
Maksudnya;
"Sesungguhnya Rasulullah SAW sering meletakkan kepalanya di ribaku, sedangkan ketika itu aku sedang berhaid, dan Baginda pula membaca Al-Quran" (Sunan Ibni Majah : 626)
Tidak dinafikan, perasaan cinta antara suami isteri itu kadangkala menebal, dan kadangkala menipis, lebih-lebih lagi dikala isteri dalam keadaan tidak suci ekoran haid dan nifas. Oleh itu, bagi hendak menghangatkan perasaan cinta antara suami isteri, perlu mempunyai daya kreatif masing-masing dalam melahirkan perasaan cinta bergelora.
Dengan hadis ini, Nabi SAW seakan-akan mengajar kepada kita tentang antara tindakan yang perlu dilakukan bagi menghangatkan balik perasaan cinta itu.
Justeru itu, sebagai suami, tidak seharusnya merasa malu untuk meletakkan kepala mereka di riba isterinya. Begitu juga, pihak isteri pula tidak selayaknya merasa janggal dengan tindakan suaminya itu sehingga menganggap tindakan sebegitu seperti tindakan anak dengan ibunya yang mahu bermanja.
Sesungguhnya bermanja antara suami isteri merupakan ibadat disisi Allah, yang melahirkan banyak kelebihan dari sudut keuntungan dunia, mahupun keuntungan di akhirat.
Keuntungan di akhirat adalah dengan balasan pahala, dan keuntungan di dunia adalah dengan kemesraan dan kebahagiaan yang wujud dalam kehidupan berumah tangga.
Dari hadis ini juga, kita akan dapat melihat betapa Islam adalah agama yang cukup memuliakan kaum perempuan berbanding apa yang telah dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah terdahulu.
Orang-orang jahiliyyah terdahulu, memandang perempuan yang berhaid sebagai jijik sehingga mereka meletakkan undang-undang adat mereka yang meletakkan perempuan seperti barang buangan dan barang terpakai.
Apabila datang Nabi SAW, baginda menyeru manusia kepada Islam yang memandang mulia kepada kaum perempuan, walaupun mereka secara fitrah mempunyai masalah bulanan, iaitu Haid dan Nifas.
Kemuliaan ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW yang bermesra dengan isterinya yang sedang berhaid, dengan meletakkan kepala baginda di riba isterinya yang sudah pasti haid itu berada dikemaluan yang berhampiran dengan riba tersebut. Ini ditambahi lagi dengan tindakan nabi SAW membaca Al-Quran di kala kepala baginda SAW berada di riba Isterinya.
Ekoran dari itulah, Imam An-Nawawi (Aun Al-Ma'bud : 1/305.) menyatakan bahawa hadis ini menjadi dalil kukuh bahawa tidak dilarang membaca Al-Quran dalam keadaan berbaring dan bersandar pada orang perempuan yang sedang berhaid, malahan ianya juga menjadi dalil bahawa tidak menjadi kesalahan membaca Al-Quran berhampiran dengan najis.
Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :
1.Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2.Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3.Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.
Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja.
Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak.
Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.
Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan.
Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu.
Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam.
Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.
Anda ingin lebih cantik dan menarik?
# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.
# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.
# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.
# Pakailah "sabun istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.
# Rawatlah rambut anda dengan "selendang islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki.
# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin ukhuwwah.
# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian."
# Bedaklah wajah anda dengan "air wudhu."